Tentang Pengarang


Pengasas TAJMA Consulting
Pengarang Aplikasi TAJMA Psychological

Professor Datuk Dr. Mohd Tajudin Ninggal merupakan seorang Kaunselor Profesional Berdaftar, Pengamal Bertauliah Neuro-Linguistic Programming (NLP), dan Psikologis Kaunseling terlatih dari Amerika Syarikat. Beliau memberikan perkhidmatan profesional menggunakan pendekatan kaunseling integratif, coaching, dan perunding psikologi kepada pihak agensi kerajaan, sektor korporat, kolej dan universiti, badan profesional, expatriates, NGO dan masyarakat awam. Beliau telah memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Kepujian) (Bimbingan & Kaunseling) dari Universiti Putra Malaysia dalam tahun 1990. Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana (Psikologi Kaunseling) dalam tahun 1992-1994 dan seterusnya menamatkan pengajiannya di peringkat PhD (Kaunseling & Penyeliaan) pada tahun 1994-1998 dari Western Michigan Universiti, Amerika Syarikat.

Profesor Tajudin merupakan pencipta dan pengasas Sistem Psikologi Pintar dalam talian yang pertama di Malaysia yang merangkumi dua perisian iaitu Profil Personaliti TAJMA Plus (PPT+) dan Profil Minat Kerjaya TAJMA Plus (PMKT+). Pengalaman profesional beliau selama 28 tahun dalam bidang psikologi kaunseling difokuskan kepada pelbagai isu dan perkhidmatan khususnya dalam aspek pengujian dan penilaian psikologi; corporate coaching; pengurusan stres, psikoterapi individu dan kelompok; kaunseling kerjaya; kaunseling multi-budaya; kaunseling perhubungan, perkahwinan dan keluarga; dan kecelaruan personaliti.

Profesor Tajudin pernah berkhidmat sebagai Ahli Lembaga Kaunselor Malaysia, Ahli Majlis Penasihat Kaunseling Malaysia, Setiausaha dan Timbalan Presiden Persatuan Kaunseling Malaysia (PERKAMA International), dan sebagai pengasas, ahli seumur hidup, dan Timbalan Presiden I, Persatuan Psikometrik Malaysia (MPA). Beliau juga aktif di peringkat kaunseling antarabangsa dan ketika ini merupakan Ahli Profesional kepada American Counselling Association (ACA), British Association of Counselling and Psychotherapy (BACP), dan Association of Psychological and Educational Counsellors of Asia-Pacific (APECA). Di samping itu, Profesor Tajudin merupakan pengasas kepada Pendekatan Kaunseling Psiko-spiritual Al-Ghazali. Beliau aktif dalam bidang penulisan dan sehingga kini telah menghasilkan tujuh buah buku berkaitan bidang kaunseling dan pembangunan pelajar serta telah membentangkan lebih daripada 150 kertas kerja dan bengkel di peringkat kebangsaan dan antarabangsa sejak 10 tahun yang lalu.

Kini, Profesor Tajudin merupakan Perunding Psikologi dengan Twin-Towers Medical Centre, KLCC, Kuala Lumpur dan Profesor Psikologi Kaunseling dengan Open University Malaysia (OUM). Sebelum itu, beliau pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Mahasiswa & Alumni) dan Profesor Psikologi Kaunseling di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).